بِسْـمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم...
... السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Semoga anda semua senantisa berada didalam lindungan dan rahmat Allah yg maha selalu…^^_
ALLAH SWT berjanji akan meningkatkan gandaan pahala kepada setiap orang Islam yang bersungguh-sungguh dalam mengerjakan ibadat sepanjang kehidupan. Setiap hari adalah hari beribadat malah bekerja juga termasuk dalam kategori ibadat. Dengan bekerja, seseorang itu dapat memperoleh rezeki yang halal bagi menyara kehidupan dan tanggungannya.
Dalam memenuhi tanggungjawab tersebut, Allah SWT memberikan peringatan bahawa bulan Ramadan adalah bulan yang paling banyak gandaan pahalanya. Antara celahan bulan Ramadan, terdapat satu malam yang amat besar ertinya kepada orang Islam kerana pada malam tersebut dijadikan penuh keberkatan dan kebaikan.
Malam tersebut dikenali sebagai Lailatuqadar. Lailatulqadar adalah malam yang amat agung kerana dipilih Allah sebagai malam permulaan Nuzul Quran atau permulaan Allah melimpahkan cahaya agama Allah ke seluruh alam, di samping melimpahkan kesejahteraan dan kedamaian yang memancar dari hidayat Allah (al-Quran) ke atas hati dan kehidupan manusia.
Gambaran keberkatan pada malam itu ialah dalam nilaian ia lebih baik daripada seribu bulan. Seribu bulan, ertinya ialah selama 83 tahun dan 4 bulan. Maknanya, sesiapa yang dapat menikmati malam tersebut akan memperolehi ganjaran pahala dalam gandaan seribu bulan.
Beruntunglah bagi mereka yang dapat mengerjakan ibadat sepanjang malam tersebut. Kelebihan dan kemuliaan malam tersebut disebut oleh Allah SWT dalam satu surah khusus, iaitu Surah al-Qadr.
"Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan (al-Quran) pada malam al-Qadr. Adakah kamu tahu (wahai Muhammad) apakah malam al-Qadr itu? Malam al-Qadr adalah lebih baik daripada seribu bulan." (al-Qadr:1-3).
Bilakah malam Lailatulqadar itu?
Rasullullah SAW pernah bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya bulan ini (Ramadan) datang kepada kamu, dalamnya ada satu malam. Amal ibadah yang dilakukan pada malam itu lebih baik dan lebih besar ganjarannya daripada amalan seribu bulan. Sesiapa yang kehilangan malam itu, sesungguhnya dia hilang semua kebaikan. Dan tidak akan kehilangan semua perkara itu, kecuali orang yang diharamkan (tidak mendapat petunjuk) daripada Allah SWT." (Riwayat Ibnu Majah).
Rasullullah SAW pernah bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya bulan ini (Ramadan) datang kepada kamu, dalamnya ada satu malam. Amal ibadah yang dilakukan pada malam itu lebih baik dan lebih besar ganjarannya daripada amalan seribu bulan. Sesiapa yang kehilangan malam itu, sesungguhnya dia hilang semua kebaikan. Dan tidak akan kehilangan semua perkara itu, kecuali orang yang diharamkan (tidak mendapat petunjuk) daripada Allah SWT." (Riwayat Ibnu Majah).
Mengenai tarikh sebenar malam tersebut, para ulama tidak mempunyai kesepakatan. Bagaimanapun kesemua ulama bersetuju bahawa Lailatulqadar hanya berlaku pada bulan Ramadan, terutamanya pada sepuluh malam terakhir.
Manusia perlu mencari hikmah di sebalik misteri tarikh tepat malam tersebut. Allah SWT sengaja menyembunyikan rahsia pada malam tersebut dengan harapan manusia tidak akan menyempadankan diri hanya untuk beribadat secara terhad pada malam itu sahaja.
Allah SWT sengaja melakukannya kerana mengharapkan setiap umat Islam dapat melakukan persediaan yang lebih baik, sehinggalah boleh menikmatinya dengan kesungguhan dan penuh keimanan.
Dalam satu hadis, Aisyah r.a. berkata Rasulullah SAW bersabda: (Riwayat Tarmizi, Nasai, Ibnu Majah dan Ahmad).
Kenapa Lailatulqadar itu diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW? Menurut Imam Malik, Rasullullah SAW tersentak apabila memikirkan umur umatnya tidaklah sepanjang umat-umat sebelumnya. Menyedari mengenai keadaan tersebut, Nabi Muhammad SAW memohon pertolongan daripada Allah SWT.
Nabi Muhammad SAW memohon agar diberikan peluang beribadat sepanjang yang mungkin sebagaimana peluang itu telah diberikan kepada umat-umat sebelumnya. Akhirnya, Allah SWT mengabulkan permintaan tersebut dengan menurunkan Lailatulqadar.
Menurut Syeikh Muhammad Abduh, sebab kenapa malam tersebut diturunkan kepada umat Nabi Muhammad SAW adalah kerana ia adalah ketentuan Allah SWT. Pada malam tersebut, Allah SWT mula mentakdirkan agama-Nya dan memerintah nabi-Nya untuk menyeru manusia kepada agama yang benar. Agama yang dapat melepaskan manusia daripada segala kehancuran dan kerosakan.
Imam Nawawi pula berhujah, sebahagian ulama memberikan pandangan bahawa malam itu datangnya secara bergilir dari tahun ke tahun. Ertinya, jika pada tahun ini berlaku pada 29 Ramadan, maka pada tahun akan datang ia akan datang pada malam yang berbeza.
Pendapat tersebut turut diterima oleh Ibn Hazam dengan menjelaskan malam itu adakalanya berlaku pada malam 21, 23, 25, 27 atau 29 Ramadan, ia berlaku dalam posisi kiraan ganjil.
Ada juga ulama membuat kesimpulan setiap tahun Lailatulqadar berlaku pada tarikh yang sama, iaitu pada tanggal 27 Ramadan. Pendapat tersebut bersandarkan kepada sebuah hadis Rasulullah SAW sebagaimana diriwayatkan oleh Abu Daud: Saya mendengar Rasulullah bersabda carilah Lailatulqadar itu pada malam 27.
Menurut Ibnu Abbas, kerana surah al-Qadr mengandungi 30 kalimah dan kata salamun hiya (selamat sejahteralah malam itu) berada pada kalimah ke-27, maka malam tersebut adalah malam ke-27.
Ulama yang lain berpendapat, kalimah Lailatulqadar terdiri daripada sembilan huruf. Dalam surah al-Qadr, kalimat tersebut diulang-ulang sebanyak tiga kali, maka tentunya ia akan berlaku pada malam ke-27, iaitu sembilan didarabkan dengan tiga.
Ada ulama menetapkan malam tersebut akan berlaku pada malam Jumaat ganjil pada 10 malam terakhir bulan Ramadan. Pendapat ini dikemukakan oleh Ahmad Marzuk dan Ibnu Arabi berasaskan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Aisyah r.a. dan seterusnya diriwayatkan oleh Imam Bukhari:
"Carilah sedaya upaya kamu Lailatulqadar itu pada 10 malam ganjil pada akhir Ramadan."
Pendapat para U'bbad menyatakan ia mengikut hari permulaan awal Ramadan, bila awal puasa pada hari Ahad atau Rabu maka, malam Lailatulqadar ialah pada malam 29 Ramadan.
Bila awal puasa pada hari Jumaat atau Selasa, maka malam Lailatulqadar ialah pada malam 27 Ramadan. Bila awal puasa pada hari Khamis, malam Lailatulqadar pada malam 25 Ramadan.
Jika awal puasa pada hari Sabtu, malam Lailatulqadar ialah malam 23 Ramadan dan jika awal puasa pada hari Isnin maka, malam Lailatulqadar pada malam 21 Ramadan.
Menurut Syeikh Abu Hassan, beliau tidak pernah luput dari malam Lailatul Qadar mengikut kaedah ini.
Pengalaman mendapatkan Lailatulqadr adalah sebuah pengalaman spiritual yang paling puncak bagi orang yang bersungguh-sungguh berusaha menyempurnakan keimanannya. Maka, setiap orang Islam perlu melakukan ibadah dan ibadat dengan bersungguh-sungguh sepanjang kehidupannnya bagi mendapat keberkatan. Kemanisan keimanan akan menjadi berlipat ganda sekiranya manusia itu mampu meraih malam Lailatulqadar.
Dalam masyarakat Melayu, malam Lailatulqadar turut dikenali sebagai malam tujuh likur. Meskipun ada banyak cerita yang berkisar dalam masyarakat Melayu mengenai malam tersebut, sebahagian besarnya adalah cerita yang tidak bersandarkan petunjuk yang jelas.
Malah pada malam tersebut turut diceritakan banyak keganjilan berlaku - air berhenti mengalir, pokok sujud menyembah bumi atau malaikat turun ke bumi dalam bentuk manusia - kerana tidak semua manusia boleh menemuinya dalam bentuk nyata.
Imam Thabari menjelaskan untuk menemui malam itu, tidak disyaratkan dengan melihat sesuatu atau mendengarnya. Maka amalan sesetengah orang Melayu menunggu air paip menjadi beku pada malam tersebut perlu digantikan dengan memperbanyakkan amal ibadat yang lebih berfaedah.
Jika kita ingin mendapatkan Lailatulqadar, kita seharusnya dapat melakukan 'kiam' Ramadan. Sepanjang bulan tersebut kita hidupkan suasana ingin belajar (taklim) sepanjang masa, siang dan malam dengan beribadah, zikir, solat sunat dan qiraah (tadarus dan telaah) al-Quran.
Seluruh indera kita dipusatkan kepada pintu keampunan bagi melenyapkan diri kita daripada dosa dan dinyahkan syak wasangka.
Sepanjang bulan Ramadan, sebenarnya bulan kita bermuhasabah dan membersihkan diri daripada segala kekotoran malah ada yang mentafsirkan bulan kesembilan itu sebagai bulan penuh kebajikan.
Lailatulqadar yang kita impikan itu adalah sebuah titik yang perlu kita cari, kerana pencarian itu membawa kita kepada kemuncak kehidupan, agar amal dan ibadah kita akan diterima oleh Allah SWT, kita akan dimasukkan sebagai senarai orang yang beriman dan beramal soleh.
NotaComot~ Sumber cma peroleh dr Akhbar Utusan
NotaComot~ Sumber cma peroleh dr Akhbar Utusan
والله أعلمُ بالـصـواب